Oleh:

JaBiT Abdul Aziz

Penyangkalan (disclaimer): Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah meninggal dunia.  Nama dan tempat (jika ada) digunakan bagi memberikan suasana dan keadaan yang sebenar

Kulit dicalar ngingis[1].  Ngingis ghairah jari amai[2].  Amai gesel kulit.  Kulit gatal nyaman digaru.  Digaru ganda mahunya.  Mahunya sehingga rasa gatal nanar[3].  Nanar pusing kembali.  Berbalik kulit digaru.

Pawana terbangkan gatal.  Gatal mendarat ke kulit.  Kulit manusia diulit.  Diulit sasar gelisah.  Seluruh kampung gelisah.  Gatal maharajalela.  Risau galau[4].  Bapanya tercabar.  Ibunya rasa pijar[5].  Gatal maharajalela, kulit pisat[6].

Tangan sarung plastik raba.  Raba lubuk gatal.  Gatal berlubuk di mana?  Di seluruh kampung sudah betot[7] muafakat.  Tuduh menuduh junterah[8].  Sengketa seruak[9].  Seruak mencari sasaban[10].  Sasaban untuk dituduh.  Boleh tuduhan bantu?  Nihil[11]!  Tangan sarung plastik geming[12].  Keadaan ini murba[13].  Penuduh punya tauke.  Tauke luahkan carut.  Carut lahirkan prasangka.  Siapa yang dicarutkan?

Pawana[14] sanyam[15]?  Pawana saba[16] dengan air?

Hirup sop dengan lahap,
lahap liur inda tertahan;
sudah dua pekan kami berharap,
mungkinkah gatal sakit jangkitan?

*            *            *

Aku lihat lembaga berbaju putih taranah[17] punggungnya.  Di sebelahnya, lembaga lebih muda.  Aku tidak tahu apa hubungan mereka?

“Tuan yang mahu berjumpa dengan Tuan Jurutera Saliran?” tanya lembaga berbaju kurung, penuh hormat.

“Au, sudah buat appointment hari atu.”

“Tunggu sebentar Tuan.”

Lembaga berbaju putih mengganguk.  Lembaga lebih muda kutat[18].

Mercun letup, badan diababi,
Akulah perakam gambar, cctv.

*          *              *

Aku nampak dua lembaga berada di dalam bilik.  Lembaga berbaju putih bertali leher biru duduk, di sebelah kanan.  Di sebelahnya, lembaga berbaju hitam bertali leher hitam.

Lembaga berbaju putih sudah lama menunggu di dalam bilik.  Lembaga berbaju putih duduk di sebelah kiri.

“Nyatakan nama tuan dan tujuan tuan berjumpa kami.”

“Nama saya Siman.  Saya memohon dibinakan sistem saliran najis yang disambungkan kepada sistem saliran kebangsaan.  Pada masa ini, sisa kumbahan najis terus mengalir ke dalam longkang.  Najis tersebut tidak dirawat…”

“Projek itu tidak ada dalam perancangan Sistem Saliran Kebangsaan…”

“Tuan, saya sudah pohonkan secara hitam putih dua tahun lepas.  Saya sudah hantar surat susulan kali kelima…”

“Itu kami tidak tahu kerana kampung Tuan tidak termasuk dalam perancangan Sistem Saliran Kebangsaan!”

“…”

Lembaga berbaju putih bertali leher biru, bagul[19]nya canak[20].

Lembaga berbaju hitam bertali leher hitam, bagulnya tugal[21].

Lembaga berbaju putih, bagulnya mengerling ke bawah.

“Jika tidak ada apa-apa lagi yang Tuan mahu cakapkan, perjumpaan selesai…”

“…”

“Peluang terakhir untuk Tuan menyatakan sesuatu.”

“Sebelum saya bercakap, saya memohon maaf…”

“Kami sedia mendengar…”

“Saya harap permohonan saya itu mengambil masa lama untuk dipertimbangkan bukan disebabkan oleh isu yang ayah saya timbulkan dengan pihak Tuan satu ketika dahulu…”

Paaappppppp!!!!!

“…???”

“Ini membuat saya marahni!  Itu cerita lama!  Kami profesional.  Ayah kamu memang menjana isu kerana membuat siasatan ke atas Pengarah.  Pengarah tidak dapat melupakan perkara tersebut.  Kami profesional!”

Lembaga berbaju putih, mengangkat punggung.  Lembaga berbaju putih mengunjuk tangan kanan.  Tangan kanan jumbul[22].

“Tuan menangis…?”

“…”

Tanpa memegang tangan kanan lembaga berbaju putih, lembaga berbaju putih bertali leher biru menggetarkan lubang yang berada di antara hidung, di atas dan dagu di bawah: “Kenapa Tuan menangis…???”

“…”

 “Keluar!!  Orang babau[23] tidak ada dalam kamus perjumpaan saya!!”

Minum kopi bergula Melaka,
diminum lahap anak berkhatan;
penjelasan diberikan dusta belaka,
setentutnya kebenaran akan sahan[24].

*           *          *

                                                Harian Gaplah

Misteri menyelubungi sebuah kampung yang belum ada hentinya.  Lalat berkerumun dengan pajalnya di dalam dan di luar rumah.  Oleh kerana itu, penduduk di sini sentiasa menutup pintu dan jendela mereka.

Kawasan sasaran berkumpulnya lalat adalah di tempat keluarnya air dari tangki kumbahan najis.  Yang menghairankan lalat tidak berkumpul di sebuah rumah, di hujung kampung.  “Kami juga hairan, rumah di hujung kampung, tidak dikerumuni lalat.  Kami yakin, ada sesuatu yang mereka tapuk.  Mungkin mereka gunakan sihir…” ulas penduduk kampung yang nampak marah sambil diiyakan oleh beberapa orang penduduk lainnya.  Menurut penduduk kampung itu lagi, sebelum ini rumah tersebut telah didatangi oleh satu kumpulan orang luar, memeriksa rumah dan mengambil air dari longkang…

                     *          *                   *

Pawana gurih[25] selesa.  Selesa uyung-uyungan[26].  Kerusi meja ikhlas diduduki.  Gelas siaga diminum air di dalamnya.  Pawasa gurih rasa.  Suraah Yaasin dan kitab Ratib Al-Attas girang setelah dibacatelaah.

“Bapa, Aiman dengar ceramah di radio pagi tadi.  Ceramah ugama madah jika azan dilaungkan, syaitan akan berkeliaran berlindung di tempat kamah[27].  Jamban[28] salah satu tempatnya…”

“…”

“Kawan Aiman beritahu mamanya membeli ketulan biru bulat di masukkan dalam tangki jamban.  Jika dimasukkan ke dalam tangki jamban, airnya jika dipam menjadi biru.  Air itu membersihkan sistem jamban termasuk dalam tangki, bawah bibir tangki, dalam mangkuk jamban dan lengkuk S katanya.  Sudah tentu kuman mati!”

“Bapa pun mendengar ceramah itu, bulan lepas sudah.  Mamamu sudah beli ketulan biru bulat itu kelmarin…”

“Bah okaylah tu, nanti Aiman masukkan.  Terima kasih pa.”

          Hidup berkampung, malar bersapa,
          bersapa penuh ramah;
         berbelanja sedikit tidak mengapa,
          asalkan air biru bersihkan kamah.

*          *                   *

Gumanta[29] suasana.  Rumah di hujung kampung dikepung.  Penduduk kampung berang.  Lalat girang bergabung di rumah lain.  Pawana ampus[30].  Pawana dipampan[31].  Jumantara[32] simpati, mendung.  Penduduk tidak tergumbala[33] menghalau lalat.  Lalat girang melayan sijan[34].  Lalat penaka[35] galat[36] serang rumah di hujung kampung?

“Hei, orang dalam rumah keluar, sudahlah menggunakan sihir kamu!” teriak lembaga yang bagulnya diikat kain.  Lembaga yang bagulnya diikat kain lampuh[37] badannya.  Lembaga yang bagulnya diikat kain, berpeluh ketiaknya.

“Oh lurus tu, keluar kamu.  Penakut…!!!” semakin padu suara, gaplah.

Lembaga muda berlari pantas.  Lembaga muda memandang kepada khalayak.

“Dapat semua bersabar?  Jangan ambil tindakan melulu yang merugikan.”

Khalayak masih menggetarkan lubang yang berada di antara hidung di atas dan di bawahnya.    

“Kamu, siapa berani ikut campur dalam masalah kampung kami?!!”

“Saya dari Persatuan Tandas Sedunia (PTS)…”

“Bukan tandaslah, katakan saja jamban…”

“…”

“Saya mahu mengongsikan keterangan yang diberikan oleh PTS.  PTS akan membina secara percuma sistem kumbahan najis seterusnya mencantumkan dengan saliran Sistem Saliran Kebangsaan.  Tuan punya rumah ini yang memohonkan perkara tersebut…”

“Kenapa tidak memohon kepada pihak berkuasa…?”

Dari jauh kedengaran:”Inda kena benarkan oleh Pengarah!!!”

Berbaur[38] gumanta.

“Apa kaitannya dengannya lalat yang pajal ini…!!”

“Sebab itulah pihak berkuasa kesihatan minggu lalu mengambil contoh air longkang dekat dengan tangki najis.  Mereka mendapati adanya kuman yang belum dapat dikenalpasti.  Masih di dalam siasatan makmal.  Sekarang musim panas bermakna kuman jenis ini senang membiak melalui udara…”

“Kenapa air biru keluar dari rumah ini.”

“Tuan rumah menggunakan pembersih jamban yang dimasukkan di dalam tangki jamban.  Sebab itu airnya biru.  Air itu mengandungi ubatan untuk membunuh kuman dan membersihkan tangki najis…”

“…“

 *     *      *

Dalam masa yang sama, gaplah di kawasan kampung dikerumuni lalat, di luar bilik Jurutera Saliran, Aku nampak menugal turus berdiri empat lembaga menunggu dilayan.

                “Tuan-tuan mahu berjumpa siapa?”

                “Kami dari Bahagian Etika dan Audit mahu berjumpa dengan Jurutera Saliran pihak puan,” bergetar lubang yang berada di antara hidung, di atas dan dagu di bawah.  Lembaga memakai baju hitam mengunjuk sekeping kertas.

 *       *

“Mohon semua bersurai.  Ketua kampung akan mengadakan perjumpaan selepas ini.  Menunggu kedatangan pegawai daerah…”

Gumanta santai[39].

Gumanta tidak jumpalitan[40]

Gumanta pajah[41]

Gumanta tandas[42]

Pawana bertiup kembali.

namiS[43] menyubuk[44] melalui tabuk[45].

Bergumanta jumantara: “Alhamdulillah

-Tamat-

                                Rujukan:

Kamus Bahasa Melayu Nusantara, Edisi Kedua, Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam


[1] Brunei – terkopek sedikit (tentang kulit).

[2] Brunei – amai tangan – sangat teringin mengerjakan yang tidak-tidak.

[3] Tidak tentu haluan; menjadi bingung.

[4] Kacau, riuh, bising

[5] Berkunang-kunang (tentang penglihatan)

[6] Kehairanan kerana terkejut

[7] Jakarta – cabut (menarik) dengan paksa

[8] Brunei – berlebih-lebihan atau lebih banyak daripada yang biasanya

[9] Berjalan menyusup dengan menguak-nguakkan sesuatu yang menghalangi

[10] Brunei – alasan;sebab

[11] kosong sama sekali

[12] Jakarta – tidak bergerak sedikit pun

[13] biasa sahaja

[14] Sastera lama – angin;bayu

[15] Brunei – senyap

[16] bercampur

[17] Brunei – tidak bergerak

[18] Sibuk atau asyik memikirkan sesuatu

[19] Brunei – bentuk kepala yang bulat

[20] sastera lama – tegak memanjang

[21] Brunei – tercegat

[22] terapung-terapung

[23] Brunei – bisu

[24] Brunei – memikul

[25] enak

[26] Brunei – dikejar

[27] Brunei – tidak bersih;kotor

[28] kakus

[29] Brunei – riuh;bising

[30] Brunei – tercungap-cungap

[31] Brunei – tutup

[32] sastera lama- awang-awang;udara;langit

[33] Brunei – dapat melakukan

[34] Gustan 360 darjah

[35] sastera lama- seperti

[36] Brunei – malu

[37] Brunei – gemuk

[38] Bahasa Melayu – ketidaktentuan

[39] Bebas daripada tekanan

[40] Jakarta – bertingkah tidak keruan

[41] Brunei – padam

[42] tidak ada lagi

[43] Gustan 360 darjah

[44] Brunei – menjenguk

[45] Brunei – jendela;tingkap