pe.su.k.

Penyangkalan (disclaimer): Cerpen ini adalah rekaan semata-mata, tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang sudah meninggal dunia.  Nama dan tempat (jika ada) digunakan bagi memberikan suasana dan keadaan yang sebenar.

                     -JaBiT Abdul Aziz-

Pawana ngingiskan sendalu.  Sendalu udar oleh dingin pagi.  Dingin pagi perlina ditutup pintu.  Pintu pampan sendalu.  Sendalu udar oleh dingin pagi.

Lembaga tua kurus geming.  Mata lembaga tua kurus, kuyu.  Mungkin lembaga tua kurus mengantuk?  Bening dan dingin tundukkan bagul.

Di luar, dingin pagi yuda dengan sendalu.  Sendalu semakin lemah.  Lemah sendalu, pawana gah.  Gah masuk menyisip lubang pintu.  Pintu pasrah.

Lembaga tua kurus bungkas.  Bungkas terus menuju tabuk.  Tabuk ditutupi cermin nipis.  Nipis boleh melihat di luar.  Di luar, binar mula hidup.  Hidup sama degupan jantung lembaga manusia.  Lembaga manusia hidup babar.  Babar pihit makhuk lain.  Makhluk lain tidak nampak.  Nampak yang ada.  Ada lembaga manusia, ada kehidupan?

Lembaga tua kurus duduk di kerusi.  Kerusi kubak kulitnya.  Kulitnya dari tilam potong.  Potong tilam nyamankan punggung.  Punggung lemaskan tilam potong juta kali.  Kali ini, duduk lembaga tua kurus, lemah.  Lemah ghalib bagi lembaga tua.  Tua penanda umur.  Umur lembaga manusia terhad. 

Lembaga tua kurus bungkas lagi.  Lagi menuju tabuk.  Tabuk ditutupi cermin nipis.  Nipis boleh melihat di luar.  Di luar, binar rubit.  Air di jumantara bunut.  Bunut acai hari hujan.  Hujan di dalam kalbu lembaga tua?

Lembaga tua kurus limbai kaki lidut.  Lidut dengan tundukkan bagul.  Bagul yang berfikir.  Berfikir ligat setiap detik.  Detik kuai lidut.  Lidut jalan.  Jalan terhenti.  Terhenti kerana lembaga tua meraba kawasan perutnya.  Perutnya buratak barangkali?  Barangkali cetus waham.  Waham buntingkan masalah.  Masalah perlu dirusah.

Lembaga tua kurus duduk di kerusi.  Duduk di kerusi masih meraba kawasan perutnya.

Kkkkreeekkkkkk!!!

Lembaga tua kurus cakahnya bungkas.  Bungkas terus menuju tabuk.  Tabuk ditutupi cermin nipis.  Nipis boleh melihat di luar.  Di luar, bunut melebat.  Melebat menjadi hujan.  Hujan turun, Alhamdulillah.

Lembaga tua kurus menuju pintu.  Pintu jadi hadang.  Hadang sendalu, dingin pagi.  Pagi semakin hidup.  Hidup semula lembaga tua.  Lembaga tua gah.

Pintu diambit ke dalam 45 darjah.

                                “Assalamualikum…”

                                “Walaikumsalam…”

                                “Siapa si Awang?”

                                Lembaga muda membuka penutup bagulnya.

                                “Aku anak Muzi, penghantar sukar khabar kita…”

                                “Mana bapamu?  Inda ia datang hari ini?…”

                                “Au, bapa demam, jahat rasa…”

Lembaga tua kurus canak.  Canak mulut nganga.  Nganga walih.  Walih  dengar khabar hiba.  Hiba barangkali kalbu lembaga tua.  Lembaga tua kurus geming.  Lembaga tua kurus gah berdirinya.

“Masuklah dulu wang…”

“Inda payah, baju basah.  Lagipun aku kan gagas…”

“Bah…”

Lembaga muda memberikan bungkusan.  Bungkusan disambut rakus oleh lembaga tua kurus.  Lembaga tua kurus diberikan barang dalam kotak plastik.  Kotak plastik disambut rakus.  Rakus berinti maksud.  Maksud yang baik-baik setentunya.  Setentunya semua ini ditunggu lembaga tua kurus.

“Kirim salam arah bapamu lai…”  Lembaga tua kurus tukar ‘wang’ kepada ‘lai’.  Lai panggilan manja kepada anak.  Anak lembaga tua kurus kah lembaga muda ini?  Nahi.  Lembaga muda ini anak izuM.  izuM mungkin bermakna kepada lembaga tua.  Lembaga tua kurus tasamuh.

“Bah, nanti memberitahu bapa…”

Lembaga tua kurus mengangkat kedua tangan.  Kedua tangan dilayahkan.  Dilayahkan dengan mulut lembaga tua kumat-kamit.  Kumat-kamit terpandang lembaga muda.  Lembaga muda mengangkat kedua tangan.  Kedua tangan dilayahkan.

“Beritahu bapamu, terima kasih tapaukan aku lauk kuasi ampap…”
                Lembaga muda berlari anak menuju lembaga besi berbunyi Kkkkreeekkkkkk!!!

Gumanta siur fitnah di alam fana,

Aku hembus udara dipanggil pawana.

#             #             #

Berselerak kemas kertas di atas meja.  Seorang lelaki menerjah matanya ke atas kertas.  Lelaki ini miruk.  Duduknya taranah.  Duduknya canak.  Duduknya geming.

“Matnor, uncle yang berlanggan surat khabar inikah yang didakwa untuk dimufliskan?” lirih lelaki ini berkata-kata.  “Inda ia pernah bercerita arahku?”

“Ia betul ni, alamat rumahnya.  Patut jua hari atu, ia beritahu dirinya sudah menjadi hamba?  Kasihan jua…” lirih lelaki ni berkata-kata.  Berkata-kata seorang diri.

Mata lelaki ini mencari huruf hitam di atas kertas.  Matanya mengecam tarikh.  “Aah, minggu hadapan ia dibicarakan.”

“Assalamualaikum.”

“Walaikum salam.”

“Sudah kau hantar surat karah uncle Matnor…?”

“Sudah.  Uncle kirim salam arah kita…”

“Walaikumsalam.  Nanti petang, kalau hari inda hujan, bawa bapa jumpa Sukri…”

“Sukri lawyer atukah pa?”

“Au.”

“Bah.  Di mana kau masa ani?”

“Masih menghantar surat khabar, tempat ke 20.  Ada dua tiga orang kirim salam arah kita.  Famous kita pa…”

“Iatah kalua katani amalkan resmi sabut, timbul tu.  Sentiasa berbuat baik, bagus tu…”

“Kan tanya kita?”

“Apa?”

“Kita tapaukan uncle Matnor lauk baampap atu kita bersedekahkah?”

“Au.  Kubeli dari amitmu di kampung.  Ada dua tiga orang, pelangganku, kusedekahi.  Sedekah atu ikut gerak hati bapa.  Inda pulang hari-hari…”

“Besok-besok pa, aku hantar surat khabar, siuk pa.  Happy yang menerima atu.  Lagipun aku masih cuti unibersiti…”

“Bah, manasaja kau.  Lebih 20 tahun sudah bapa menghantar surat khabar.  Dari neneknya turun ke bapanya…entah-entah, cucunya, jika panjang umur…hehe.  Sudah kau baca Surah Al-Waqiah dan Surah Al-Mulk subuh tadi?”

“Alhamdulillah, sudah pa.  Lepas subuh.  Kulihat kita selepas subuh atu, tatidur kita di kerusi…”

“Au.  Pagi tadi inda tah katani berjemaah subuh tu.  Jahat rasaku, perut lagi sakit-sakit.  Bagahku…” 

“Bangga ku pa.  Kebaikan kita menjadi motivasiku.  I love you pa…”

I love you jua lai.  Ganya mamamu sudah inda ada.  Al-Fatihah untuknya…”

Suasana bening.

Gumanta pajah.

Jumantara senyum.

Tumbuk dinding perbuatan sia-sia,

bengkak tangan kerana seliuh urat;

ampiti makanan tindakan mulia,

infak rezekimu bawa berkat.

#             #             #

“Semua berdiri.”

Lembaga-lembaga berdiri semuanya.

Lembaga berjubah hitam jalan concong.  Setelah lembaga berjubah hitam duduk, lembaga lain menundukkan bagul.

Aku nampak ramai lembaga duduk beratur. 

Uncle rontaM berada di kerusi ke 10.  Bergilir-gilir lembaga dipanggil.  Lembaga berdiri turus.  Lembaga tersebut mengatakan: “Mengaku Yang Arif.”  Kertas diberikan kepada setiap lembaga yang berdiri turus.  Kertas diunjuk oleh lembaga berkot hitam.

“Matnor bin Sinor, sila berdiri.”

Uncle rontaM berdiri, miruk.  Muka Uncle rontaM gulana.

Kedengaran suara dari belakang, kira-kira dua baris kerusi…

“Yang Arif, saya Sukri dari Sukri Associates, mewakili defendan dalam kes muflis ini.”

Sukri bersyarat kepada lembaga berkot hitam mahu memberikan kertas.

“Surat wakil telah diberikan kepada staf Yang Arif.”

Uncle rotnaM tasamuh baur kesima.

“Apa pihak Sukri Associates boleh bantu mahkamah?”

“Saya bagi pihak defendan bercadang mengadili kes kemuflisan defendan secara timbangtara setuju bersama dengan erti kata lain, melalui arbitration.  Pihak plaintif, bank telah dimaklumkan.  Pihak plaintif setuju.  Mohon ketetapan Yang Arif.”

Lembaga berjubah hitam membaca kertas yang diberikan oleh lembaga berkot hitam.

“Ada wakil plaintif?”

Berdiri angkis wakil plaintif, lembaga muda berkot biru.

“Saya Mohsin wakil plaintif.  Kami sudah berunding dengan peguam defendan dan bersetuju untuk menyelesaikan kes kemuflisan defendan melalui arbitration.”

“Mahkamah tidak ada halangan.  Sila hubungi staf saya untuk membuat persediaan seperti lazimnya.”

Lembaga berkot hitam menghampiri wakil plaintif.

Sukri menghampiri Uncle rontaM. 

“Saya Sukri tuan, mewakili tuan…”

“Aku tidak pernah menghubungi tuan.  Mengorder lawyer mesti bayarkan…?”

“Betul.  Tetapi kes tuan ani pro bono, maksudnya syarikat kami tidak meminta bayar, kami bersedekah…”

Uncle rotnaM mengangkat kedua tangannya.  Tangan dilayahkan.  Mulut Uncle rontaM kumat-kamit.

Sukri melakukan perkara yang sama.

Lembaga berjubah hitam juga mengangkat tangan dan layahkan.

Seluruh lembaga yang ada di dalam yudikatif ini mengangkat tangan dan layahkan.

Aku nampak lembaga separuh umur kepit surat khabar.  Mukanya ditundukkan.  Dikejam matanya.  Matanya basah.

Aku rasa hiba.

Rumah dibina dari tanah liat,

tanah liat dikumpul waktu subuh;

semua tindakan mengikut niat,

niat baik natijahnya tasamuh.

#             #             #

Bilik yang boleh memuatkan sebuah meja panjang dengan enam kerusi berhadapan menjadi tempat mengadili kes kemuflisan Uncle rontaM.

“Berapa lagi baki hutang defendan menyebabkan pihak plaintif bertindak memufliskan defendan.”

“Hutang defendan berbaki $950.00 setakat ini.”

“Adakah sebarang garispandu plaintif bagi hutang yang rendah ini?  Perlukah pelanggan bank dikenakan tindakan kemuflisan dengan jumlah hutang yang sedikit ini?”

Lembaga berkot hitam berambut lasak duduk di pisuk meja menulis sesuatu. 

“Yah ada.  Bagi kes defendan, ini kes menjamin, guarantor.”

“Boleh kiranya defendan menerangkan mengenai dengan hutangnya ini?” menyampuk lembaga berkot hitam berambut lasak.

Uncle rontaM berdiri lemah.  Aku nampak lututnya getar…

“Hutangku sebab aku jamin dua orang, berhutang kerita.  Mereka tidak mahu membayar.  Bank potong gajiku.  Gajiku tinggal suku saja membayar hutang tersebut…”

Uncle rontaM duduk di kerusi.  Sah lututnya getar.  Kudrah Uncle rontaM dikumpul kembali.  Kembali berdiri.

“Dengan gaji atu, sudah nasib badan, anak biniku tinggalkan aku.  Tempat kutinggal dibayarkan oleh kawanku, penghantar surat khabar.  Terima kasih dan Alhamdulillah…”

Uncle rontaM duduk kembali di kerusi.  Kembali berdiri.

“Setelah pencen, duit pampasan kerja dipotong habis oleh bank.  Kenapa bank tidak uyung yang punya kerita, itu aku tidak tahu?  Pihak bank madah, aku penjamin perlu bayar jika yang dijamin lari.  Aku takut kena buang kerja pasal atu aku setuju saja.  Aku berunding dengan lawyer bank.  Memberi takut jua tu.  Yang kujamin kubawa berunding, kan bawa berkelahi tia pulang.  Atu tidak suka bertengkar.  Duit atu pemberian Ilahi.  Aku sabar sajalah…”

“Setuju tuan jika kami bayarkan baki hutang kita atu…?”

“Mana saja.  Inda nanti aku kamu tagih membayar…?”

“Inda…”

Uncle rontaM mengangguk-angguk lemah.

“Iatah terima kasih karah si Awang penghantar surat khabar kerana selalu bertanya aku baca Al-Waqiah atau inda?  Mula-mula ia duduni aku membaca.  Setelah setiap hari dibaca, jadi amalanku.  Ada ketenangan walaupun kurang duit.  Ketenangan atu membawa usin yang inda mampak…”

Uncle rontaM duduk kembali di kerusinya.

Keadaan bening.

Lembaga berkot hitam lasak rambutnya menulis sesuatu.

“Dalam seminggu, keputusan arbitration ini akan diberikan kepada plaintif dan defendan.  Kes selesai,”  kedengaran suara dari pisuk meja.

Mentari pagi binar,

bibirmu lebar senyum;

perkasakan selalu bersabar,

natijahnya kau babar kidum

#             #             #

“Ada kamu terima surat dari lawyer pasal kes hutang kereta katani dulu?  Hutang Chief Matnor jadi penjamin katani…”

“Ada.  Kau?”

“Ada jua.  Apanya surat atu…?”

Lawyer lagau aku ke ofisnya merundingkan hutang atu.  Jika inda mahu, lawyer akan bawa perkara ini ke mahkamah…”

“Maksudnya katani kena sue…?”

“…”

“Iatah susah hatiku…”

Bergumanta jumantara: “Hasbunnallahiwanikmalwakeel…”

-Tamat-

                Rujukan:

                Kamus Bahasa Melayu NUSANTARA, Edisi Kedua, Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Darussalam:

                pesuk  –  bocor;berlubang-lubang;tembus.

                sendalu – angin yang sederhana (sedang) kencangnya.

                pawana – angin;bayu.

                udar – (Jawa) terurai (lepas) daripada ikatannya.

                ngingis – (Brunei) terkopek sedikit.

                perlina – (sastera lama) tidak kelihatan.

                geming – (Jakarta) tidak bergerak.

                bagul – (Brunei) bentuk kepada yang bulat.

                yuda – (Sanskrit) perang.

                bungkas – (Brunei) bergerak kerana terkejut;diganggu.

                binar – sinar.

                rubit – (Brunei) terkoyak sedikit.

                babar – (Jawa) menjadi banyak;membiak;bertambah.

                pihit – (Brunei) bertindih yang satu di atas yang lain.

                ghalib – (Bahasa Melayu) biasa;lazim;umum.

                tabuk – (Brunei) jendela;tingkap.

                bunut – rintik-rintik.

                limbai – lenggang.

                tapau – bungkus makanan dsb untuk dibawa pulang.

                kuai – (Brunei) melintas.

                lidut – (Brunei) perlahan (dalam perbuatan atau pergerakan).

                buratak – (Brunei) bergelegak.

                pisuk – (Brunei) pelosok.

                rusah – (Brunei) mengusahakan (mengerjakan) sesuatu.

                canak –  (sastera lama) tegak memanjang.

                walih – (Brunei) berbeza atau berlainan.

                bah – (Brunei) kata untuk menyatakan arahan atau persetujuan.

                tasamuh – kelapangan dada;keluasan fikiran; kesabaran.

                layah – (Brunei) tidak tertutup;terbuka;terdedah.

ampap – (Brunei) ikan yang direbus bersama-sama asam, garam, lada, dsb sehingga kering kuahnya       dan biasanya dimalamkan.

gumanta – (Brunei) riuh;bising.

ganya – (Brunei) hanya.

ampit – (Brunei) menerima bahagian.

infak – pemberian (sumbangan) harta dsb (selain zakat wajib) untuk kebaikan;sedekah.

miruk – (Kelantan) berasa gerun atau takut.

gulana – letih;lesu;layu.

kesima – (Jakarta) tercengang; tertegun.

yudikatif – (Undang-undang) berkaitan dengan badan yang berfungsi mengadili perbicaraan.

lasak – (Brunei) tidak ditumbuhi rambut pada sebahagian kepala.

kidum – (Brunei) senyum.

angkis – (Brunei) sombong;bongkak.

izuM – Gustan 360 darjah

rontaM – Gustan 360 darjah