Oleh CT NURZA

SIDANG JENGGALA merupakan sebuah cerpen yang cukup unik. Diterbitkan oleh akhbar Mingguan Malaysia pada 5 November 2017. Saya melihat cerpen ini diolah seperti anyaman motif abstrak kelarai seni yang sangat indah.

Kreativiti pengarang dalam mencipta watak-watak kreatif berdasarkan tumbuh-tumbuhan hutan amat menarik. Ada kelainan dari segi watak yang ditampilkan menjadi objek penggerak cerita. Watak-watak ini jarang-jarang difikirkan oleh kebanyakan penulis lain. Syabas! Kepada cerpenis ini. Ia suatu penerokaan yang berani dan berdaya fikir.

Nama-nama tumbuhan yang menjadi watak dalam cerpen ini juga begitu serasi. Ia diadun dengan sikap dan peribadi insan yang digambarkan sebagai pemiliknya. Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan daya fikir pembaca ke aras yang lebih tinggi untuk mendalami maksud tersurat dan tersirat secara simbolik.

Watak-watak seperti Chengal, Merbau, Pulai, Mahagoni dan Akasia sungguh satira. Akan tetapi berjaya menganjak paradigma fikir kita agar berfikir ke luar kotak. Judul cerpen ini juga amat menarik perhatian untuk dibaca. Terdapat ciri-ciri klasik selain daripada gaya bahasanya memukau dan juga tersendiri.

Cerpen ini menyelitkan nilai-nilai murni tentang kehidupan masyarakat dewasa ini, dalam menghadapi pelbagai anasir yang boleh meruntuhkan keharmonian dan perpaduan. Oleh itu kebijaksanaan dan kematangan diri mendepani sebarang kemungkinan ini amat penting. Mesejnya amat mendalam jika ia dihayati dengan mata fikir secara halus.

Cerpen ini dihasilkan oleh seorang penulis prolifik yang baharu sahaja memenangi Anugerah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) kategori Cerpen Media Baharu dan Cerpen Remaja (2016 & 2017) untuk hadiah penghargaan serta Anugerah Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI III) Kategori Cerpen Kanak-Kanak dan Remaja (2015/2016).

Selain itu beliau juga pernah memenangi hadiah cerpen terbaik bulanan anjuran e-sastera dan akhbar Utusan Malaysia S2 (2017) dan juga Naib Johan, Sayembara Sajak dan Cerpen Hari Raya anjuran Grup E-Sastera Facebook (2017).

Samiron Rahmat atau nama penanya Nurimas SN dan S Amir On merupakan seorang kaunselor berdaftar. Bertugas di SMK Badrul Alam Shah, Kemasik, Terengganu. Beliau juga pernah menjadi wartawan sambilan akhbar Sinar Harian suatu ketika dahulu. Nurimas SN begitu aktif berkarya dipelbagai majalah dan akhbar-akhbar arus perdana dengan pengkhususannya lebih kepada genre cerpen, selain puisi dan novel. Anak jati Pontian, Johor ini kini menetap di Kemaman, Terengganu.

Antara novel-novel yang pernah dihasilkan oleh beliau ialah Bidadari Mimpi (1995) dan Jurai-Jurai Cinta (1997). Selain terlibat dengan penghasilan Antologi Bersama (Cerpen & Puisi), beliau juga turut menulis puluhan buku-buku KBSR/UPSR. Di samping itu, Nurimas SN turut menghasilkan Skrip Drama Radio (RTM) sekitar tahun 1990-an. Novel Remaja terbaharu beliau berjudul Bitaranya Cinta telah pun diterbitkan oleh Penerbitan Taiko Seni Enterprise pada Januari 2019. Syabas, diucapkan!

Semoga dunia sastera tanah air akan lebih meriah dan  berkembang maju lagi pada masa-masa akan datang. Dengan kehadiran penulis-penulis lama dan baharu yang sentiasa berdaya saing untuk maju dengan penghasilan karya-karya yang sentiasa bermutu dan segar kerana ia merupakan fenomena yang amat sihat.


Diharapkan jua akan muncul lagi kejora-kejora yang berkerdipan menghiasi pentas sayembara yang akan diiktiraf selayaknya. Ini adalah sebagai penyuntik semangat juang yang tinggi demi memartabatkan industri sastera di Malaysia.

Selamat terus berjaya kepada semua.

Pelabuhan Kelang, Selangor,
Januari 2018.